Tuesday, March 10, 2009

Sabar dan bertahanlah untuk kembali kuat..

"senyuman paling bermakna adalah senyuman dikala semua disekelilingmu serba tidak kena"

... tersenyumlah agar dunia tersenyum padamu, walau senyuman itu sukar diukir kerna beratnya beban pengukir itu..

Lama rasanya aku tidak menulis di sini. Malam ini aku cuba nukilkan sesuatu dilayar ini agar terungkai bebenang yang mengusut di sanubariku ini. Aku memilih untuk bercerita tentang sabar. Menasihati diri untuk terus tegar berdiri bertahan. Aku akui, aku kala ini tidak mampu melangkah menapak apatah lagi berlari untuk mengejar cita-citaku akibat kelemahanku jua. Cita-cita yang terpendam dan peluang didepan mata aku biarkan berlalu sahaja tanpa ada kekuatan untuk menggapainya. Peluang melanjutkan pengajian dengan biasiswa yang menjadi rebutan ramai orang terlepas begitu sahaja.... Buat masa ini aku hanya mampu memujuk diri supaya bertahan jangan terjelepok tak bangun-bangun, walau kaki ini terlalu lemah untuk bertahan rasanya. aku perlu mengumpul kekuatan untuk melangkah setapak demi setapak. Aku akui langkahku agak ketinggalan dari teman-teman lain yang telah berlari laju meninggalkan aku yang bertatihpun belum mampu kini.

Kekuatan seakan hilang untuk melangkah apatah lagi berlari. Apa sebabnya? aku sendiri masih mencari jawapan kepada persoalan ini, pada yang Satu sering aku adukan agar aku ditemukan dengan jalan yang terbaik untukku dan diberikan keuatan. Aku hanya ada sekeping sabar untuk mengalas rasa kecewa yang memberat dalam jiwa. sekeping sabar untuk menahan air mata dari meninggalkan redup kelopaknya. sekeping sabar untuk bertahan dan dengan sekeping sabar itu aku perlu merencana laluan baru yang perlu aku lalui kini..

Dalam perkiraanku dahulu, terima tawaran pengajian dengan biasiswa itu akan mampu meringankan segala bebananku. Setelah sekian lama aku ikutkan sahaja rentak orang yang biasanya jauh berbeza dari prinsipku, sekian lama aku bersabar dengan tindasan orang pada 'diamnya' aku, sekian lama aku bersabar akan kata-kata dan tindakan orang pada 'tidak kisahnya' aku. Kini walau sabar itu hanya tinggal sedikit dan nampaknya aku perlu terus cuba bertahan kerana peluang itu telah berlalu. Ramai teman yang katakan bodohnya aku akan tindakkanku membiarkan peluang itu berlalu, bukan tidak berusaha tapi aku seolah tiada upaya pada langkah yang setapak saja lagi kini. Aku rela telan kata-kata itu dan pendam rapat-rapat agar tidak ada air mata kesal menjengah.

Aku cuba ukirkan senyum ceria pada hari-hariku dan menahan diri dari tangis kesal pada malam-malamku. beban rasa ini biar hanya aku dan Tuhanku yang tahu. Hati ini aku sandarkan hanya pada yang Satu tempat mengadu, tempat minta petunjuk dan pertolongan. Dalam doaku sering aku lafazkan "andai jalan ini terbaik untukku masa kini dan masa depanku, untuk diriku, keluarga dan agamaku, maka permudahkan. Jika sebaliknya tunjukkilah aku jalan yang lebih baik untukku dan redhakanlah hatiku" kerana kepercayaanku yang tidak berbelah bagi pada Dia yang Maha Mengetahui aku redha. Kalimah yang Maha Mengetahui ini jadi pegangan yang tidak mungkin aku lepaskan - "Barangkali kamu membenci sesuatu, tetapi ia baik bagi kamu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu sedangkan itu buruk bagi kamu, dan Allah maha mengetahui apa yang tidak kamu ketahui (Al-Baqarah:216)

Nukilan pada layar ini bukan bingkisan putus asa, tapi ia adalah sulaman bebenang kesabaran yang cuba aku simpulkan menjadi tali kekuatan untuk aku berpaut agar tidak jatuh dari bertahan... bersabar dan bertahan..