Monday, September 8, 2008

Satu Hari di Bulan Ramadhan

Dengan Nama Allah aku mulakan bicara..
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Diam tak diam dah seminggu kita berpuasa buat sekian kalinya pada tahun ini.
Moga-moga pada tahun ini Ramadhan ini jadi Ramadhan yang terbaik untuk ku berbanding tahun-tahun yang berlalu. Terbaik... ya terbaik untuk aku jadikan pelantar titik pusingan dalam diri, pelantar tarbiyah diri, pelantar muhasabah diri, pelantar untuk aku berhijrah menjadi muslimah yang lebih baik, pelantar menundukkan nafsu, pelantar melonjakkan iman yang kian lemah.. semoga aku berjaya mecoretkan kegemilangan Ramadhan ini secara peribadi.. dalam membentuk jatidiri yang kadangkala di atas ada kalanya di bawah..

Moga-moga aku bisa dinobatkan sebagai pemenang perang diri di Bulan Mulia ini..
Moga-moga aku diberikan kekuatan dan kesabaran untuk menghunus pedang keimanan untuk ku cantas satu persatu musuh dalam diri ini... agar nanti di akhir peperangan aku bisa tersenyum dan melangkah penuh keyakinan dan ketenangan.

Aku tidak tahu apa mungkin aku akan ditakdirkan bertemu dengan Ramadhan al kareem tahun-tahun akan datang. Semoga aku dapat laksanakan dengan langkah yang paling cantik dan kemas pada Ramadhan kali ini. Amin..

---------

Baru-baru ini terbaca sekali lagi satu cerpen aku kira, tulisan entah siapa gerangannya. Semoga penulisnya diberikan saham akhirat oleh Pencipta Semesta. Kerana isinya penuh makna, maka aku lampirkan ia di sini. Agar bisa jadi tatapan teman-teman juga.


Abang Nak Beli Kuih...??

Hari itu, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.

"Abang nak beli kuih?" Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

"Tak apalah dik...Abang dah pesan makanan" jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni" kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai disitu, di meletakkan bakulnya yang masih sarat.


Setiap yang lalu ditanya... " Tak nak beli kuih saya bang.. Pak cik... Kakak atau makcik." Molek budi bahasanya!


Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya. Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu.


Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.


"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang" katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul persaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.


"Ambil ni dik! Abang sedekah... Tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.


Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak- kanak itu.


"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu? Duit tu abg bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.


Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.


"Abang nak beli semua ke?" dia betanya dan saya cuma ngangguk. Lidah saya kelu nak berkata. "RM25 saja bang.....!"


Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.


Dalam perjalanan ke K. Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah?? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? ? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapt menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Monday, March 3, 2008

Melihat dari mana dan bagaimana?

“Ketika aku muda dan imaginasiku bebas tanpa batasan, aku mngimpikan untuk mengubah dunia. Apabila aku semakin dewasa dan lebih bijak, aku menyedari bahawa dunia ini tidak akan berubah. Maka aku cuba melihat lebih dekat dan mengambil keputusan untuk mengubah hanya negaraku. Tetapi, ia juga, kelihatan tidak dapat digerakkan. Apabila aku memasuki penghujung usia, dalam satu cubaan terdesak, aku cuba mengubah hanya keluargaku, mereka yang hampir padaku. Namun tiada yang mahu berubah. Kini, ketika aku terbaring di atas katil menunggu ajal, aku tersedar; Kalaulah aku mengubah diriku dahulu, kemudian dengan menjadi contoh tauladan aku mengubah keluargaku. Daripada inspirasi dan galakkan mereka, aku mungkin bisa mampu untuk mnjadikan negaraku lbih baik, dan siapa tahu, aku mungkin akan mengubah dunia"

Dua orang sahabatku yang menghantar mesej yang berbunyi sebegini pagi ini. ia membuatkan aku terpanggil untuk turut berkongsi dengan teman-teman di halaman ini.

Monday, February 4, 2008

Tika siang memejamkan mata, alam berubah warnanya. Tika insan memejamkan mata, ruh berubah destinasinya..

Assalamualaikum..

Sengaja aku menulis ini.. sekadar menterjemahkan bisikan di hati dan di minda.. menyahut seruan sahabat yang menggalakkan aku menulis sesuatu perihal diri dan pengalaman untuk dikongsi di halaman ini.. Namun aku tetap aku, kurang pandai bercerita darihal diri dan pengalaman hidup di halaman yang luas ini.. Apapun akan ku cuba sedikit demi sedikit..


Sejak kebelakangan ini banyak juga perkara yang menghimpit, membuatkan aku kadang-kadang hilang upaya untuk melawan dan akhirnya aku ambil keputusan untuk melangkah keluar dari perkara-perkara yang menghimpit dan menuntut penyelesaian itu. Pabila aku mula tenang dan boleh berfikir secara rasional satu-persatu perkara aku lihat semula, tak akan ku biar masalah itu terus membarah. Kerana kita diajar untuk percaya bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib kita, melainkan kita sendiri yang mengubahnya kan... Masalah tak akan selesai selagi kita tidak berinisiatif untuk berhadapan dengannya dan tanganinya. Kuasa mengubah itu ada di tangan kita, tapi atas izin Allah jua segala jalan penyelesaian itu.


"Tika siang memejamkan mata, Alam berubah warnanya
Tika hati memejamkan mata, Insan berubah haluannya
Tika insan memejamkan mata, Ruh berubah destinasinya"



Bila berbicara tentang kuasa mengubah, apalah sangat kuasa yang ada pada kita ini, jika hendak kita bandingkan pada kuasa Pencipta Alam Maya yang penuh keajaibannya. contohnya, kita mungkin boleh mengubah masa pada jam tangan kita. Percepatkan, melewatkan atau hentikan. Tetapi kuasa mengubah itu hanya sekadar pada jam tangan kita sahaja, apa mungkin kita mampu mengubah masa seluruh dunia ini mengikut citarasa kita.. manamungkin kita mampu menentang sunnahtullah dari yang Berkuasa Mengatur Perjalanan Masa, yang turut bersumpah atas nama 'masa' dalam surah Al-Asr.. dan manamungkin kita mampu menahan mentari dari terus menyinari bumi setelah berlabuhnya malam.

Kuasa mengubah itu punya natijahnya tersendiri.

Jika kita menghentikan masa pada jam tangan kita, hasilnya jam tangan kita tidak akan berfungsi lagi. Dapatkah kita bayangkan jika Pencipta dan Pengatur Alam Maya pula yang menghentikan masa, apakah natijahnya?

Rasanya cukup sekadar kita hayati kejadian siang dan malam. Tika siang melabuhkan mentarinya, alam akan berubah warnanya. Berubah dari warna yang cerah ceria kepada suram malam yang gelita. Gerak-laku dan kecenderungan insan juga turut berubah akibat perubahan waktu ini. Turut jua terkesan perubahan ini pada mergastua, unggas, tumbuhan dan hidupan ghaib di dunia ini.

Cuba pula kita kaitkan dengan perkara lain, yang juga boleh berubah atas kehendak Allah. Hati misalnya, tempat Allah menjatuhkan pandangan, jua tempat musuh kita membisikkan nista. Tempat jatuh suluhan iman dan tempat letak kemudi yang menentukan haluan hidup Insan. Pandangan mata hati itu sangat halus dan telus berbanding mata kasar dalam mengemudi perjanan hidup insan. Memilih laluan ke syurga atau laluan ke neraka. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar mata hati itu tidak terpejam dan jauh dari pimpinan Penciptanya ketika berkemudi, dek kerna noda-dosa yang menempel. Kerana hati yang terpejam itu cenderung membawa haluan kita jauh dari sisi Pencipta. Siapalah kita untuk mengubah hati sehebat pengubahan oleh Penciptanya seperti firmanNya dalam Al-Baqarah ayat 257, tatkala Dia mampu mengubah hati sekeras batu menjadi selembut air, insan seperti Umar. Tatkala Dia biarkan ramai umat Islam berkemudi dengan mata hati yang terpejam.. Nauzubillah..

[Hadits Qudsi; Berkata Wahab bin Munabbih, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda : Allah Ta’ala telah berfirman : “Sesungguhnya semua petala langit dan bumi
akan menjadi sempit untuk merangkul Zat-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalbu (hati) seorang Mukmin.” (Hadits Riwayat Ahmad)]


Juga perubahan fitrah insan yang kita tahu namun jarang kita ingati, ia berubah mengikut kehendak Pencipta. Tika mata insan terpejam, ruh berubah destinasinya.. Sedar atau tidak, saat insan memejamkan mata, ia adalah tanda pengembaraan ruh tanpa ditemani jasad bermula. Destinasinya, sekali jarak jauh dan berkali-kali pada jarak dekat. Sepanjang kita masih bernafas ini, setiap hari jua ruh meninggalkan jasad bersiar-siar ke destinasi yang dekat, kala mata terpejam kala nikmat tidur masih dimanfaat. Sampai saat yang dijanjikan Tuhan Pencipta Jasad dan Ruh, mengubah destinasi perjalanan ruh dari alam dunia ke Alam Barzakh dan Mansyar seterusnya satu antara dua destinasi akhir, ketika terpejamnya mata pada jasad buat selama-lamanya.

Terlalu banyak dan tidak terhurai tentang Kuasa Mengubah Pencipta Maya oleh aku hamba yang punya terlalu sedikit ilmu tentang Pencipta Maya ini. Apa yang pasti kita juga diberikan keupayaan untuk mengubah nasib kita dalam lingkungan keupayaan kita juga dengan izin Pencipta Maya seperti firman Allah dalam Al-Quran :

“ Baginya (manusia)ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”
(Surah Al-Ra’d, ayat 11)

“Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” - (Surah Al-Najm, ayat 39)

Allahu a'lam..

Thursday, January 31, 2008

Erti kehidupan dalam sebuah imbauan

Assalamualaikum..

Baru-baru ini seorang teman perjuanganku minta aku menjawab beberapa persoalan tentang kehidupan..

Sebuah permintaan yang bagi ku penuh makna dan buat diri ini berhenti sejenak dari semua kerja duniawi. Membiarkan hati dan minda berbicara dan merenung mencari jawapan. Renungan ku itu membawa aku hampir pada Fitrah insani, kembali refleksi diri satu persatu mengufuk ke muara hakiki...

Antara persoalan tentang kehidupan itu :-

•Apakah tanggapan saya terhadap kehidupan ?
•Apa yang saya lakukan untuk Hidup ?
•Kenapa saya diberi peluang untuk Hidup?
•Apakah tanggungjawab saya dalam hidup ?
•Bagaimana saya mengurus kehidupan ini ?
•Apakah persediaan saya semasa hidup ?

dan aku yang jarang-jarang memberikan jawapan secara terus memberikan ini sebagai jawapan :-

Hari ini dalam sejarah kehidupanku.
Hari ini ia datang, esokku tinggalkan.
Kehidupan di dunia adalah satu persinggahan dari rentetan pengembaraan roh
Menerus perjalanan dari setiap fasa yang punya ujian tersendiri
Alam Ruh, detik alastu kita berjanji taat setia di hadapan Allah sebelum ditiup menumpang dirahim bonda sembilan purnama detiknya bermukim selesa di situ

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman) , "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" mereka menjawab, "Betul (Engkau Tuhan kami), Kami bersaksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar hari kiamat kamu tidak mengatakan , "Sesungguhnya ketika itu kami lengah terhadap ini"...
(Al-a'raf :172)


Tiba pula ke alam dunia, ketibaan kita disambut dengan tawa kesyukuran namun perjalanan dunia yang fana’, punya tipudaya jentera iblis dan penuh fatamorgana sering buat kita terleka terlupa pada ikrar alastu
Sering terlupa bahawa kehidupan didunia ini hanya tempat persinggahan mengutip bekalan menempuhi perjalanan fasa seterusnya yang lebih panjang jaraknya antara syurga atau neraka, alam barzakh dan mahsyar menuntut lebih berat ujian dan pembalasannya

Kehidupan adalah sebuah perjalanan yang diamanahkan setelah kita berbai’ah pada pencipta. dan dalam perjalanan ini terlalu banyak yang perlu dipenuhi dari bejana kosong yang kita kendong

mengatur langkah di dunia fana' ini mendamba kasih dan rahmat lllahi.
membiarkan aku merenung diri, mengingati kebesaran Penciptaku yang punya rencana tersendiri, menetapkan kelahiranku pada 24 APRIL, 24 tahun yang lalu.
Setelah memenangi sebuah pertarungan untuk sebuah kehidupan didunia

Sempat punya ayah ibu, keluarga, teman, guru, jua bersua warga dunia yang pelbagai
Juga sempat kenal nikmat bernafas, melihat, berkata-kata, mendengar, berfikir, makan dan minum dan segala asas untuk hidup didunia
Sedang ramai antara kita yang dimatikan sebelum itu atau pada usia yang amat muda
Namun bagiku pertambahan usia dunia yang tidak mungkin menjangkau 100 tahun ini punya makna dari pencipta,

Syukur, Pencipta manusia dan Pengatur usia masih memberikan aku masa dan ruang untuk meneruskan usahaku memperbaik diri, punya idealisme, intelektualisme jua aktivisme
memperbanyak amalan sebagai hamba yang kerdil, berdoa bergantung harap pada Nya,
mengembara mendamba ilmu, menabur jasa menyemai budi,
moga-moga amanahku sebagai khalifah di pentas bumi ini dapat dilaksana,
memakmurkan alam dan menyampaikan kalimah Pencipta walau satu ayat yang aku tahu.

Hanya Dia yang tahu, dan ketentuan kehidupanku ini aku serahkan di Tangan Nya,
biar Dialah yang menentukan segalanya,
aku hanya berusaha, berdoa selebihnya tawakkal
aku hanya hambaNya yang kerdil yang terintai-intai dan mengharap akan
perhatian Nya, kasih sayang Nya dan keredaan Nya.
Moga-moga pada usia yang bertambah ini
sentiasa dibenar berlindung di bawah lembayung rahmat Nya,
diampuni dosa-dosa, diberkati perjalanan usia...

Semoga dibekalkan dengan Nur iman dan Taqwa pada Nya yang tidak kunjung malap,
semoga aku dipertemukan dengan jalan yang sebenarnya benar dan tetap dijalan itu atas landasan fikrah islam menuju kebahagiaan abadi.
moga aku kian matang dan dewasa menempuh permainan dunia,
kian tebal tabah dan sabar menungkah badai gelora dunia yang menyesakkan,
Semoga Pengatur perjalanan insan Yang Maha Mengetahui meredai dan membekali aku
dengan kekuatan, kemudahan, panduan dan pimpinan,
dalam setiap langkah yang diatur, dalam setiap keputusan yang dipilih,dalam setiap bicara yang dilafaz,dalam setiap idea yang dilontar,dalam setiap bisikan dihati dan diminda....


Jawapanku mungkin tidak sebaik yang diharapkan.. Namun itu adalah apa yang aku fahami tentang kehidupan dari sebuah sorotan secara mendatar..

Bagainamakah pula jawapan kepada persoalan ini pada diri teman-teman yang sudi membaca tulisan ini?


Az-Zirah
(pakaian seorang pejuang)