Monday, February 4, 2008

Tika siang memejamkan mata, alam berubah warnanya. Tika insan memejamkan mata, ruh berubah destinasinya..

Assalamualaikum..

Sengaja aku menulis ini.. sekadar menterjemahkan bisikan di hati dan di minda.. menyahut seruan sahabat yang menggalakkan aku menulis sesuatu perihal diri dan pengalaman untuk dikongsi di halaman ini.. Namun aku tetap aku, kurang pandai bercerita darihal diri dan pengalaman hidup di halaman yang luas ini.. Apapun akan ku cuba sedikit demi sedikit..


Sejak kebelakangan ini banyak juga perkara yang menghimpit, membuatkan aku kadang-kadang hilang upaya untuk melawan dan akhirnya aku ambil keputusan untuk melangkah keluar dari perkara-perkara yang menghimpit dan menuntut penyelesaian itu. Pabila aku mula tenang dan boleh berfikir secara rasional satu-persatu perkara aku lihat semula, tak akan ku biar masalah itu terus membarah. Kerana kita diajar untuk percaya bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib kita, melainkan kita sendiri yang mengubahnya kan... Masalah tak akan selesai selagi kita tidak berinisiatif untuk berhadapan dengannya dan tanganinya. Kuasa mengubah itu ada di tangan kita, tapi atas izin Allah jua segala jalan penyelesaian itu.


"Tika siang memejamkan mata, Alam berubah warnanya
Tika hati memejamkan mata, Insan berubah haluannya
Tika insan memejamkan mata, Ruh berubah destinasinya"



Bila berbicara tentang kuasa mengubah, apalah sangat kuasa yang ada pada kita ini, jika hendak kita bandingkan pada kuasa Pencipta Alam Maya yang penuh keajaibannya. contohnya, kita mungkin boleh mengubah masa pada jam tangan kita. Percepatkan, melewatkan atau hentikan. Tetapi kuasa mengubah itu hanya sekadar pada jam tangan kita sahaja, apa mungkin kita mampu mengubah masa seluruh dunia ini mengikut citarasa kita.. manamungkin kita mampu menentang sunnahtullah dari yang Berkuasa Mengatur Perjalanan Masa, yang turut bersumpah atas nama 'masa' dalam surah Al-Asr.. dan manamungkin kita mampu menahan mentari dari terus menyinari bumi setelah berlabuhnya malam.

Kuasa mengubah itu punya natijahnya tersendiri.

Jika kita menghentikan masa pada jam tangan kita, hasilnya jam tangan kita tidak akan berfungsi lagi. Dapatkah kita bayangkan jika Pencipta dan Pengatur Alam Maya pula yang menghentikan masa, apakah natijahnya?

Rasanya cukup sekadar kita hayati kejadian siang dan malam. Tika siang melabuhkan mentarinya, alam akan berubah warnanya. Berubah dari warna yang cerah ceria kepada suram malam yang gelita. Gerak-laku dan kecenderungan insan juga turut berubah akibat perubahan waktu ini. Turut jua terkesan perubahan ini pada mergastua, unggas, tumbuhan dan hidupan ghaib di dunia ini.

Cuba pula kita kaitkan dengan perkara lain, yang juga boleh berubah atas kehendak Allah. Hati misalnya, tempat Allah menjatuhkan pandangan, jua tempat musuh kita membisikkan nista. Tempat jatuh suluhan iman dan tempat letak kemudi yang menentukan haluan hidup Insan. Pandangan mata hati itu sangat halus dan telus berbanding mata kasar dalam mengemudi perjanan hidup insan. Memilih laluan ke syurga atau laluan ke neraka. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa agar mata hati itu tidak terpejam dan jauh dari pimpinan Penciptanya ketika berkemudi, dek kerna noda-dosa yang menempel. Kerana hati yang terpejam itu cenderung membawa haluan kita jauh dari sisi Pencipta. Siapalah kita untuk mengubah hati sehebat pengubahan oleh Penciptanya seperti firmanNya dalam Al-Baqarah ayat 257, tatkala Dia mampu mengubah hati sekeras batu menjadi selembut air, insan seperti Umar. Tatkala Dia biarkan ramai umat Islam berkemudi dengan mata hati yang terpejam.. Nauzubillah..

[Hadits Qudsi; Berkata Wahab bin Munabbih, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda : Allah Ta’ala telah berfirman : “Sesungguhnya semua petala langit dan bumi
akan menjadi sempit untuk merangkul Zat-Ku, akan tetapi Aku mudah untuk dirangkul oleh qalbu (hati) seorang Mukmin.” (Hadits Riwayat Ahmad)]


Juga perubahan fitrah insan yang kita tahu namun jarang kita ingati, ia berubah mengikut kehendak Pencipta. Tika mata insan terpejam, ruh berubah destinasinya.. Sedar atau tidak, saat insan memejamkan mata, ia adalah tanda pengembaraan ruh tanpa ditemani jasad bermula. Destinasinya, sekali jarak jauh dan berkali-kali pada jarak dekat. Sepanjang kita masih bernafas ini, setiap hari jua ruh meninggalkan jasad bersiar-siar ke destinasi yang dekat, kala mata terpejam kala nikmat tidur masih dimanfaat. Sampai saat yang dijanjikan Tuhan Pencipta Jasad dan Ruh, mengubah destinasi perjalanan ruh dari alam dunia ke Alam Barzakh dan Mansyar seterusnya satu antara dua destinasi akhir, ketika terpejamnya mata pada jasad buat selama-lamanya.

Terlalu banyak dan tidak terhurai tentang Kuasa Mengubah Pencipta Maya oleh aku hamba yang punya terlalu sedikit ilmu tentang Pencipta Maya ini. Apa yang pasti kita juga diberikan keupayaan untuk mengubah nasib kita dalam lingkungan keupayaan kita juga dengan izin Pencipta Maya seperti firman Allah dalam Al-Quran :

“ Baginya (manusia)ada malaikat-malaikat yang selalu menjaganya bergiliran, dari depan dan belakangnya. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengkehendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”
(Surah Al-Ra’d, ayat 11)

“Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.” - (Surah Al-Najm, ayat 39)

Allahu a'lam..

No comments: